BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 6 December 2011

Monday 28 November 2011

Formula Tatabahasa

FORMULA TATABAHASA

1. pecahan – ditulis di akhir ayat bukan di tengah
1. dua setengah kilogram ( X )
2. dua kilogram setengah (√ )
3. tiga setengah minit ( X )
4. lima liter suku (√ )
5. tiga suku jam ( X )

2. ayat pasif(kata ganti nama 1,2) tiada oleh , di KGN 3 ada di..oleh
1. Roti itu dimakan oleh saya. ( X )
2. Roti itu saya makan. (√ )
3. Roti itu kamu makan. (√ )
4. Roti itu dimakan oleh mereka.( √ )
5. Roti itu mereka makan. ( X )

3. membuat / berbuat = abstrak/bukan benda
1. Jangan membuat bising. ( X )
2. Jangan berbuat bising. ( √ )
3. berbuat begitu ( √ )
4. membuat begitu ( X )
5. berbuat demikian ( √ )

4. antara(bukan tempat) / di antara(tempat)
1. Antara hobi saya ialah membaca buku. (√ )
2. Di antara hobi saya ialah membaca buku. ( X )
3. Rumah saya terletak di antara tingkat satu dengan
tingkat tiga. (√ )
4. Fatihah duduk di antara Julia dengan Mariam. (√ )
5. Antara alat-alat tulis yang dibeli olehnya ialah
pensel, pembaris, pen dan pemadam. ( X )



5. di dalam (lubang/ruang) / dalam (abstrak/tidak nampak)
1. di dalam ingatannya ( X )
2. dalam ingatannya ( √ )
3. di dalam bilik ( √ )
4. dalam mesyuarat ( √ )
5. di dalam hatinya ( X )

6. ialah(kata nama,kata kerja) / adalah(kata sendi,kata adjektif)
1. Ramli ialah abang saya. ( √ )
2. Ramli adalah abang saya. ( X )
3. Mesyuarat itu adalah dari pukul 8:00 pagi hingga 10:00
pagi. ( √ )
4. Punca pencemaran adalah seperti pembuangan sisa
toksik oleh pihak kilang. (√ )
5. Hobi saya adalah bermain badminton. ( X )

7. _____ jangan = Harap sahaja
1. Harap jangan merokok. ( √ )
2. Sila jangan merokok. ( X )
3. Tolong jangan merokok. ( X )
4. Usah jangan merokok. ( X )
5. Jangan merokok. ( √ )

8. meN-…-i (orang) / meN-…-kan (benda)
1. menasihati Ali ( √ )
2. menasihatkan Ali ( X )
3. menghidangkan tetamu ( X )
4. menghidangkan nasi lemak ( √ )
5. menaiki bendera ( √ )

9. (orang)di-…-i(benda) / (benda) di-…-kan (orang)
1. Pingat kecemerlangan dihadiahkan kepada Fatimah. (√ )
2. Fatimah dihadiahkan pingat kecemerlangan. ( X )
3. Fatimah dihadiahi pingat kecemerlanga n. (√ )
4. Menteri itu dianugerahkan pingat kebesaran. ( X )
5. Pingat kebesaran dianugerahkan kepada menteri itu. (√ )

10. memper (kata adjektif) / memper-…-kan (kata kerja)
1. memperdalamkan lubang itu ( x )
2. memperdalam lubang itu ( √ )
3. mendalamkan lubang itu ( √ )
4. memperkatakan hal itu ( √ )
5. memperkata hal itu ( x )

11. memperisterikan (mengahwinkan orang lain) memperisteri(berkahwin dengannya)
1. Haji Isa memperisterikan seorang gadis kampung. ( X )
2. Haji Isa memperisteri seorang gadis kampung. ( √ )
3. Haji Isa memperisterikan anak lelakinya dengan seorang gadis kampung. ( √ )
4. Haji Isa memperisteri anak lelakinya dengan
seorang gadis kampung. ( X )
5. Haji Isa mempersuamikan anak daranya dengan
seorang pemuda kampung. ( √ )

12. meN-…-kan(orang) = buat/beli untuk orang lain
1. Siti Nurhaliza membuatkan ayahnya secawan teh. ( √ )
2. Siti Nurhaliza membuat ayahnya secawan teh. ( X )
3. Kakak menjahitkan ibunya sepasang baju kurung. ( √ )
4. Kakak menjahit ibunya sepasang baju kurung. ( X )
5. Kakak menjahit sepasang baju kurung untuk ibunya. ( √ )


13.kata bilangan ‘ber’ = 2X
1. berpuluh tahun ( X )
2. berpuluh-puluh tahun ( √ )
3. beribu-ribu penonton ( √ )
4. beribu penonton ( X )
5. ribuan penonton ( √ )

14.kata bilangan ‘ke’ = 2X ,tidak perlu penjodoh bilangan
1. kedua-dua anaknya ( √ )
2. kedua anaknya ( X )
3. anaknya yang kedua ( √ )
4. ketiga-tiga ekor kucing itu ( X )
5. ketiga-tiga kucing itu ( √ )

15.kata bilangan = B 1
1. semua murid-murid ( X )
2. semua murid ( √ )
3. para pelajar ( √ )
4. semua kanak-kanak ( √ )
5. ramai budak ( √ )

Latihan tatabahasa

Tatabahasa Melayu Sekolah Rendah

Tandakan / atau X pada ayat-ayat berikut.

1. Raziah mempunyai sebuah rahsia.
2. Ibu menghadiahkan adik sebatang pen.
3. Saya mengirim ayah sepucuk surat.
4. Di malam itu cahaya bulan sungguh indah.
5. Kata-kata aluan itu ditulis oleh Yang Dipertua PIBG.
6. Beg itu dibuat dari kulit.
7. Di manakah wang saya yang kamu pinjam itu?
8. Zamani ialah pelajar yang terpandai sekali di sekolah ini.
9. Oleh kerana hari hujan,dia tidak hadir ke kokurikulum.
10. Buku-buku yang tebal itu dibeli oleh saya.
11. Sila jangan makan di sini.
12. Bas yang adik naiki itu melanggar pokok.
13. Ibu Tanggang mengharapkan kepulangannya dari hari ke sehari.
14. Bakar mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan akhir tahun.
15. Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut.
16. Kita mestilah saling bantu-membantu.
17. Suasana di istana itu sungguh terang-benderang.
18. Semua lauk-pauk itu disediakan oleh ibu.
19.Adik rindukan ayah yang bertugas di perbatasan.
20.Saya yang menemui dompetnya yang hilang itu.
21.Majlis bersanding akan berlangsung pada pukul 2.30 petang.
22. Jadual bertugas itu disediakan oleh kumpulan merah.
23. Pusat membeli-belah baru itu baharu dibuka pada minggu lepas.
24. Azman membeli sos cili di pasaraya itu.
25. Yusuf mengaku tidak bersalah di hadapan hakim.
26. Zamri mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perbankan.
27. Ibu menjahitkan baju kurung untuk kakak.
28. Berat ikan itu dua setengah kilogram.
29. Ayah saya ialah seorang jurutera.
30. Abang Zaki adalah bekerja di pejabat pos itu.
31. Dilarang menghisap rokok di sini.
Cuba rakan-rakan membuat latihan ini.

Monday 7 November 2011

Permainan Bahasa

Saturday 29 October 2011

Saturday 15 October 2011

Tatabahasa

PANDUAN GURU BERKAITAN DENGAN TATABAHASA

1.Kesalahan perkataan atau kosa kata.

Contoh;
Ahmad keciwa = sepatutnya kecewa (kesalahan ejaan)
Pelancung = pelancong (kesalahan ejaan)
Perabut = perabot (kesalahan ejaan).
Pergi melancung = sepatutnya melancong (kesalahan
penggunaan perkataan)
Tinggal di pendalaman = sepatutnya pedalaman (kesalahan penggunaan perkataan)

2.Kesalahan frasa mengikut hukum D – M.

Dalam bahasa Melayu hukum D (unsur yang diterangkan) merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan yang pertama dan M (unsur yang menerangkan) hadir pada kedudukan yang kedua dalam frasa ayat

Contoh;
Cili sos = sepatutnya sos cili
Nusantara Restoran = sepatutnya Restoran Nusantara
Mini bas = sepatutnya bas mini
Kredit kad = sepatutnya kad kredit

3.Perkataan orang, kaum, keturunan, bangsa, bahasa dan suku kaum mesti digunakan apabila kita hendak menyebut sesuatu kaum, suku kaum, bangsa, keturunan atau bahasa.

Contoh,
Penduduk negeri Johor kebanyakannya Melayu (salah)
Penduduk negeri Johor kebanyakannya orang Melayu (betul)

Cina pernah menjadi bangsa yang bertamadun (salah)
Bangsa Cina pernah menjadi bangsa yang bertamadun (betul)

Melayu, Cina dan India ialah kaum yang terbesar di negara ini (salah)
Kaum Melayu, Cina dan India ialah kaum yang terbesar di negara ini (betul)

Bahasa yang digunakan itu ialah Melayu, bukan Inggeris (salah)
Bahasa yang digunakan itu ialah bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris (betul)

Sarawak telah lama didiami oleh Iban (salah)
Sarawak telah lama didiami oleh kaum Iban (betul)


4.Kesalahan makna ayat yang tidak jelas.

Contoh;
Tanah liat ialah mineral silikat paling halus sehingga memerlukan teknik sinar-X untuk mengkajinya.(salah)
Tanah liat ialah mineral silikat paling halus sehingga untuk mengkajinya diperlukan teknik sinar-X. (betul)

5.Kesalahan ayat yang tidak mempunyai subjek.

Contoh;
Ini dapat dilihat pada harga belimbing besi di Kuala Lumpur cuma berjumlah RM2.00 sekilo (salah)
Hal ini dapat dilihat pada harga belimbing besi di Kuala Lumpur, iaitu berjumlah RM2.00 sekilo (betul)

6.Ayat tergantung.

Contoh;
Penjenayah itu dijatuhkan oleh hakim. (salah)
Penjenayah itu dijatuhkan hukuman oleh hakim (betul)

7.Kesalahan penggunaan bahasa yang tidak sesuai mengikut taraf sosial seseorang.

Contoh;
Baginda berucap kepada pembesar negeri (salah)
Baginda bertitah kepada pembesar negeri (betul)

8.Kesalahan frasa kerja yang kata kerja transitif tidak diikuti oleh penyambut (objek).

Contoh;
Ali melukis untuk dihadiahkan kepada kakaknya (salah)
Ali melukis gambar untuk dihadiahkan kepada kakaknya (betul)


9.Kesalahan penggunaan kata sendi nama.

Contoh;
Ketika keluar daripada kelas 5 Teratai, saya terlanggar gadis itu (salah)
Ketika keluar dari kelas 5 Teratai, saya terlanggar gadis itu (betul)




10.Kesalahan penggunaan kata jamak.

Contoh;
Kebanyakan guru-guru lelaki telah dihantar ke kawasan bandar (salah)
Kebanyakan guru lelaki telah dihantar ke kawasan bandar (betul)


11.Kesalahan penggunaan kata ganda.

Contoh;
Perdana Menteri-Perdana Menteri negara ASEAN sedang bermesyuarat di Bangkok. (salah)
Perdana-Perdana Menteri negara ASEAN sedang bermesyuarat di Bangkok (betul)

12.Kesalahan penggunaan kata imbuhan.

Contohnya;
Kerajaan sedang memperbesarkan jalan raya di kampung itu (salah)
Kerajaan sedang memperbesar jalan raya di kampung itu (betul)


Contoh-Contoh
Penggunaan Kata, Frasa Dan Ayat

-Ada berbagai barang di kedai itu. (salah)
Ada berbagai-bagai barang di kedai itu. (betul)
Ada pelbagai barang di kedai itu. (betul)

-Ali dihadiahkan sebuah buku harian. (salah)
Ali dihadiahi sebuah buku harian. (betul)

-Di antara mereka yang hadir. (salah)
Antara mereka yang hadir. (betul)

-Tambak Johor terletak antara Johor Bahru dengan Singapura. (salah)
Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura. (betul)

-Banyak perbezaan di antara bilik Ali dengan bilik Kasim. (salah)
Banyak perbezaan antara bilik Ali dengan bilik Kasim. (betul)

-Bangunan itu adalah Daya Bumi.(salah)
Bangunan itu Daya Bumi. (betul)

-Banyak orang datang. (salah)
Banyak orang yang datang. (betul)

-Berbincang masalah. (salah)
Berbincang tentang masalah itu. (betul)

-Berdasarkan kepada perkara itu. (salah)
Berdasarkan perkara itu. (betul)

-Bergantung kepada. (salah)
Bergantung pada. (betul)

-Berhubung itu. (salah)
Berhubung dengan itu. (betul)

-Berkait itu. (salah)
Berkait dengan itu. (betul)

-Berkaitan itu. (salah)
Berkaitan dengan itu. (betul)


-Bersama. (salah)
Bersama-sama. (betul)

-Beda. (salah)
Beza. (betul)

-Bola itu Ali tendang. (salah)
Bola itu ditendang (oleh) Ali. ( betul )

-Bola itu ditendang oleh saya. (salah)
Bola itu saya menendang. (salah)
Bola itu saya tendang. ( betul )

-Buku itu dihadiahi kepada Ahmad. (salah)
Buku itu dihadiahkan kepada Ahmad. (betul)

-Buku itu dia hantar ke perpustakaan. (salah)
Buku itu dihantar ke perpustakaan. (betul)

-Buku itu dimasukkan dalam laci. (salah)
Buku itu dimasukkan di dalam laci. (betul)

-Buku itu disimpan dalam laci. (salah)
Buku itu disimpan di dalam laci. (betul)


-Di dalam hal itu.(salah)
Dalam hal itu. (betul)

-Di dalam peperiksaan itu. (salah)
Dalam peperiksaan itu. (betul)

-Dari Kedah hingga Sabah. (salah)
Dari Kedah ke Sabah. (betul)

-Dari masa ke semasa. (salah)
Dari masa ke masa. (betul)

-Daripada segi. (salah)
Dari segi. (betul)

-Dari semasa ke masa. (salah)
Dari semasa ke semasa. (betul)

-Dato’ Sri. (salah)
Dato’ Seri. (betul)

-Dengan lain perkataan. (salah)
Dengan perkataan lain (betul)

-Dalam bilik itu. (salah)
Di dalam bilik itu. (betul)

-Dia belajar dari pengalaman. (salah)
Dia belajar daripada pengalaman. (betul)

-Dia datang bila dipanggil. (salah)
Dia datang apabila dipanggil. (betul)

-Dia memandang pada saya. (salah)
Dia memandang kepada saya. (salah)
Dia memandang saya. (betul)

-Dia berikan anaknya pelajaran. (salah)
Dia memberi anaknya pelajaran. (betul)

-Dia berikan saya sebuah buku. (salah)
Dia memberi saya sebuah buku. (betul)
Dia memberi buku kepada saya. (salah)
Dia memberikan buku kepada saya. (betul)

-Dia memberi pelajaran kepada anaknya. (salah)
-Dia memberi anaknya pelajaran. (betul)

-Dia mempelajari daripada pengalamannya. (salah)
Dia mempelajari perkara itu daripada pengalamannya. (betul)

-Dia memperisterikan Aminah. (salah)
Dia memperisteri Aminah. (betul)

-Dia memperisteri anaknya dengan anak pengetua. (salah)
Dia memperisterikan anaknya dengan anak pengetua. (betul)

-Dia menaiki bendera. (salah)
Dia menaikkan bendera. (betul)

-Dia menceburkan diri di bidang perniagaan. (salah)
Dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan. (betul)

-Dia mengambil apa sahaja. (salah)
Dia mengambil apa-apa sahaja. (betul)

-Dia menolehkan pandangannya kepada saya. (salah)
Dia menolehkan pandangannya pada saya(betul)

-Dibincangkan di dalam mesyuarat itu. (salah)
Dibincangkan dalam mesyuarat itu. (betul)

-Dia merindukan anaknya. (salah)
Dia merindui anaknya. (betul)

-Jangan memijak rumput. (salah)
Jangan pijak rumput. (betul)

-Berkesanan. (salah)
Keberkesanan. (betul)

-Kedua belah pihak. (salah)
Kedua-dua belah pihak. (betul)

-Kepimpinan. (salah)
Kepemimpinan. (betul)

Nilai - Nilai Murni

RAJIN

Mengulang kaji pelajaran/mengemas rumah/buat kerja
rumah/buat jadual waktu belajar/menyiapkan kerja
sekolah/buat latihan



TOLONG-MENOLONG

Membantu ibu pergI ke kedai/membasuh pinggan/mengajar rakan/memberi derma/ tolong guru di sekolah/



BEKERJASAMA

Bergotong-royong / bermain dgn. bersungguh-sungguh/ bermuafakat/berbinca/berganding bahu bahu/berpadu tenaga/bersama-sama/bergilir-gilir/bersepakat



BAIK HATI

Memaafkan kesalahan/menolong orang/menghulurkan
derma/belanja kawan makan/tidak berdendam



PEMURAH/ MURAH HATI

Memberi hadiah/menghulurkan derma/belanja kawan makan/menolong/membantu/berkongsi…



JUJUR

Bercakap benar/mengakui kesalahan/tidak mengambil harta benda orang/memulangkan/menyerahkan/mengembalikan



AMANAH

Melakukan tugas yang diberi oleh guru/ ibu bapa/menyimpan rahsia/wang yang diamanahkan.


RELA/SANGGUP BERKORBAN

Menawarkan diri untuk melakukan sesuatu perkara/ secara sukarela


MENGHARGAI MASA

Bangun awal/ membaca buku/mengulang kaji pelajaran /mengemas rumah/buat kerja rumah/buat jadual waktu belajar/menyiapkan kerja sekolah/buat latihan



MENGHARGAI / MEMBALAS JASA

Mengucapkan terima kasih/memuji kebaikan/ memberikan hadiah/memberikan ganjaran/duit



PRIHATIN

Menolong orang/menghulurkan bantuan/menderma /menyumbang/mengutip sampah di atas lantai/menegur



BERDISIPLIN

Mengenal diri dengan cara menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang.


MENJAGA KEBERSIHAN

Menjaga kebersihan diri/rumah/sekolah/alam sekitar/menebas rumput/membakar sampah



MENJAGA KESIHATAN

Makan makanan berkhasiat/ makanan seimbang/bersukan/berjoging/ bermain badminton


MENJAGA KESELAMATAN

Berhati-hati/memeriksa kenderaan/memandang ke kiri dan kanan/memakai topi keledar



SEMANGAT PATRIOTIK

Berdiri apabila mendengar lagu Negaraku/ melawat Tugu Negara/tempat bersejarah



TABAH/SABAR/ CEKAL

Tidak kecewa dengan kematian/kesusahan/ dugaan/diejek/dihina/dibuli



PERAMAH/MUDAH MESRA

Bertanya khabar/menyapa kawan



IKHLAS

Menolak ganjaran/pemberian/melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan



KASIH SAYANG/ SIMPATI

Memeluk anak/cucu kerana lama tak jumpa/ menghulurkan derma kepada orang miskin



RASIONAL

Melakukan sesuatu setelah memikirkan kebaikannya



TAAT / PATUH

Mengikut arahan/nasihat ibu bapa/guru
Mengikut peraturan


SEMANGAT BERMASYARAKAT / KEJIRANAN


Gotong-royong kenduri / ziarah jiran sakit
Ziarah kematian – ucap takziah
Beri makanan kepada jiran / tolong jiran



BERTANGGUNGJAWAB


Memulangkan harta benda orang / melaksanakan tugas / menegur perbuatan negatif



BERDIKARI

Membuat sesuatu perkara sendiri tanpa
mengharapkan orang lain/gosok baju/basuh kasut

Monday 26 September 2011

MBMMBI

KPM komited terhadap MBMMBI



KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan matlamat kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program literasi kepada murid sekolah rendah akan lebih tertumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan.
``Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah di kalangan rakyat pelbagai kaum,'' kata ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2010 baru-baru ini.
Menurutnya, KPM juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.
``Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa.
``Bagi tujuan itu, KPM telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia,'' jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran.
Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut.
Selain itu katanya, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan KPM untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
``Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’.
Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya,'' katanya


 sumber maklumat : Utusan Malaysia